BBK3410 6#

Assalamualaikum

Sepanjang aku hidup, tidak pernah sekali pun aku menjejakkan kaki ke KLIA atau KLIA 2.
Tidak pernah aku merasa berada di tengah kepulan awan, kecuali ketika berangan.

Namun semuanya berubah setelah aku melanjutkan pelajaran aku di UPM
Baru beberapa minggu aku menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar UPM,
Sudah banyak tempat yang aku telah terokai di sekitar Selangor bersama-sama rakanku.

Dan salah satunya,KLIA .

"Jom pergi KLIA ? Auni akan ke US,"

Jom !

Perjalanan aku,Faridah dan Maisarah untuk ke KLIA mula seawal jam 9 pagi.
Sungguh kami tidak tahu bagaimana untuk ke KLIA secara keseluruhan dan jelas, kami cuma dapat pandangan secara permukaannya sahaja. Namun, inilah cabaran !

Sebelum ke KLIA, kami bercadang untuk ke The Mines terlebih dahulu.
Kata beberapa orang pelajar UPM, The Mines hanya terletak berhampiran dengan stesen KTM Serdang.
Setelah tiba di KTM Serdang,kami terus mencari-cari The Mines. Malangnya, kami sendiri tidak tahu bagaimana rupa pusat beli-belah yang terkenal itu. Kami mengambil keputusan untuk melintas jalan dan meneruskan pencarian. Kami juga ada bertanya pada beberapa orang yang lalu-lalang.
Daripada segala maklumat yang kami peroleh, akhirnya kami mampu juga menjejakkan kaki di The Mines.
Sungguh jauh perjalanan kami untuk ke sana, bagaikan tersesat di tengah-tengah padang pasir yang begitu luas dan kosong ! Cuaca pada hari itu agak panas apabila menjejak ke tengah hari.

Di The Mines,kami bagaikan rusa masuk kampung . Di Terengganu, kami tidak akan dapat pengalaman untuk menerokai pusat beli-belah yang begitu besar seperti The Mines.
Memandangkan itulah kali pertama kami di sana, agak susah bagi kami untuk mencari tempat makan yang sesuai bagi golongan pelajar (tidak terlalu mahal) dan untuk mencari Giant.
Kerana kami rela menyahut cabaran di tempat baru, kami tidak berputus asa malah seronok untuk menerokai kawasan itu. Akhirnya, dengan beberapa panduan, tibalah kami di depan muka pintu Giant. Setelah membeli beberapa keperluan, kami bergerak untuk solat Zohor.

Kemudian, dari The Mines kami bertolak ke KTM Serdang. Alhamdulillah, mudah bagi kami untuk menemui stesen komuter tersebut.
Tiga tiket untuk ke KL Sentral kami beli. Tunggulah kami di platform seberang untuk ke KL Sentral. Aku akui agak lama kami menunggu kereta api elektronik itu untuk tiba.

Sungguh seronok menaiki kereta api eletronik itu ! Suasana dalamannya yang dingin, sambil memerhatikan keindahan dan kehijauan alam ciptaan Yang Maha Esa, sungguh mendamaikan jiwa !

"Stesen seterusnya, KL Sentral,"
"KL Sentral,"

Setibanya kami di KL Sentral, sungguh kami bagaikan terdampar di sebuah pulau yang asing. Kami tidak tahu di mana letaknya stesen bas di KL Sentral. Kami telah mengambil masa selama beberapa jam untuk mencari stesen bas. Ada yang memberi panduan yang salah ketika kami bertanya. Ada juga yang tidak mampu untuk menjawab.
Namun begitu, alhamdulillah akhirnya kami berjaya menemui stesen bas tersebut.
Untuk ke KLIA, perjalanan mengambil masa selama sejam lebih. Aku yang agak keletihan mengambi kesempatan untuk lelap seketika di dalam bas. Waktu itu sudah Asar.

Tibalah kami bertiga di KLIA !
Itulah kali pertama aku berada di sana . Perasaanku agak bercampur baur ketika itu. Seronok, terharu, letih dan macam-macam lagi ! Tapi, kami bertiga mempunyai satu rasa yang sama yang begitu kuat dalam diri masing-masing ; perasaan tidak sabar untuk mengejutkan Auni dengan kehadiran kami di sana !

Sebelum berpusing-pusing di KLIA, kami terlebih dahulu solat Asar secara berjemaah. Sungguh enak rasanya apabila dapat berjemaah dengan rakan-rakan karibku ! Terasa ukhwah kami makin erat, alhamdulillah.

Kemudian,kami menuju ke tempat menunggu pesawat antarabangsa. Kelihatan beberapa orang remaja yang mengikut pandangan kami, turut menyertai program pertukaran pelajar Malaysia - US yang sama dengan Auni ! Kami terus berjalan bersama-sama mereka untuk menjejaki tempat perkumpulan mereka. Dalam kesempatan yang ada, aku terus menghubungi Auni. Terasa ingin melompat jantung kami apabila kami bertembung mata dengan Auni !

"Auni!!!"

Sungguh dapat kami lihat Auni turut gembira apabila kami sudi untuk berjumpa dengannya dari jauh sebelum dia bertolak ke US pada malam itu.

Kami turut berjumpa dengan keluarga Auni. Sempat juga untuk berborak lama dengan Auni. Aku agak rapat dengan Auni, sedikit sebanyak aku berasa sedih kerana bakal terpisah lama dengan Auni. Setelah merakam beberapa keping gambar bersama-sama Auni, kami terpaksa mengundur diri kerana hari sudah gelap. Kami memeluk Auni dengan kejap.

Setelah puas melambai tangan, aku,Faridah dan Maisarah bergerak ke stesen bas. Sudah tiba masanya untuk kami pulang ke UPM. Kalau boleh kami ingin bersama-sama Auni sehinggalah saat dia berlepas ke US tengah malam nanti. Namun apakan daya, kami perlu menghadiri kelas pada keesokan harinya.

Apabila kami tiba di KL Sentral, bergegas kami menuju ke surau untuk solat Maghrib . Setelah selesai menunaikan solat Maghrib dan Isyak, kami mengisi perut yang sudah lama berkeroncong di MC Donalds.

Kami membeli tiket untuk ke KTM Serdang dan menunggu di platform yang .... salah !
Sungguh pada waktu itu sudah lewat. Kami hanya menunggu kereta api elektronik itu untuk tiba di Serdang, namun ternyata kami tidak tiba-tiba di sana !

Entah mengapa waktu itu kami sungguh tenang. Kami hanya berasa hairan, dan apabila diberitahu oleh seorang pegawai bahawa kami tersalah menaiki kereta api elektronik yang lain, kami hanya mampu beriak terkejut dan tergelak kecil. Ianya merupakan satu pengalaman buat kami semua. Alhamdulillah, mujur kami tidak disuruh untuk membayar denda .
Kami mendapatkan tiket yang baru lalu segera menaiki kereta api elektronik yang betul, dan akhirnya, tibalah kami di KTM Serdang ! Alhamdulillah !

Travelog perjalananku ke KLIA bersama-sama sahabatku merupakan satu pengalaman yang begitu menarik dan bermakna bagiku. Tidak kurang juga pengajaran yang aku dapat daripada perjalananku ini.
Aku belajar bagaimana untuk bertanya kepada orang yang tidak aku kenal, bagaimana untuk menerokai tempat yang belum pernah aku pergi, dan banyak lagi !

Sekian sahaja travelog ke KLIA pada kali ini !
Terima kasih sudi baca !




Comments

Popular posts from this blog

Daylight 2#

"Slut!"

Say Don't Go