BBK3410 11#

Assalamualaikum

Kali ini, aku ingin menceritakan pengalaman aku mengikuti lawatan sekolah rendahku, sewaktu aku berumur 12 tahun .
Darjah enam, namun tidak aku ingat sama ada lawatan itu selepas atau sebelum UPSR .

Lawatan ini berlangsung selama 3 hari 2 malam .
Sama seperti lawatan sekolah-sekolah lain mungkin,
Namun bagi aku . Ini merupakan salah satu kenangan manis dalam hidup ini .

Lawatan ini membawa kami ke Genting Highland, Berjaya Times Square, dan destinasi terakhir iaitu Gambang Water Park !

Kami berkumpul di sekitar sekolah seawal jam 7 pagi.
Aku begitu teruja pada waktu itu, masih aku ingat aku memakai baju berwarna merah.

Setelah kami berkumpul di dataran hadapan sekolah, guru pengiring kami mengarahkan kami untuk mula memenuhi tempat duduk di dalam bas .
Aku bersama-sama sahabat baikku,Aisyah telah memilih untuk di bahagian tengah bas.

Sepanjang perjalanan, kulit dan tulangku serasa mengecut kerana terlampau sejuk.
Masih aku ingat wajah sahabat-sahabatku yang enak diulit mimpi waktu aku tidak mampu melelapkan diri.

Destinasi pertama kami merupakan Genting Highland .
Itulah kali pertama dan, setakat ini kali terakhir aku menjejakkan kakiku di sana.
Waktu itu Genting Highland belum maju seperti sekarang, tetapi kelihatan menarik dengan pelbagai permainan. Guru-guru kami memberikan pelepasan kepada kami untuk pergi bersiar-siar atau bermain permainan mengikut kehendak sendiri.

Apa yang aku paling ingat, waktu kami beramai-ramai menaiki 'roller coaster'.
Itulah kali pertama, dan juga setakat ini kali terakhir aku menaiki permainan tersebut.
Sungguh mengujakan ! Aku mengulangi permainan itu berkali-kali. Mujur tambangnya pada waktu itu murah.

Sungguh aku akui, badanku terasa bagai dicampak dan aku sungguh takut kalau-kalau tali pinggang yang membaluti tubuhku kemas pada waktu itu tercabut dek kelajuan permainan itu.
Aku menjerit bagai nak rak ! Bagai mahu tercabut anak tekakku !
Walau takut, sungguh aku seronok !

Setelah itu, kami bergerak pula untuk menaiki 'cable car'.
'Cable car' itu membawa kami pusing sekitar kawasan itu.
Dapat kami lihat pelbagai permainan yang terdapat di situ.

Kami juga bercadang untuk memasuki kawasan bersalji, namun apakan daya bayarannya pada waktu itu terlalu mahal bagi kami sebagai pelajar.

Hari pertama berakhir dengan kepenatan, namun hatiku berbunga riang. Aneh, bukan ?
Tidaklah aneh. Normal bagiku yang kali pertama berkunjung ke Genting Highland.

Pada hari kedua, kami berkunjung ke Berjaya Times Square.
Memandangkan aku masih kecil waktu itu, aku tidak berminat untuk membeli sebarang benda di sana. Apa yang aku buat hanya berjalan-jalan di sekitar kawasan pusat beli-belah tersebut bersama-sama rakan-rakanku yang lain.

Aku tidak berapa ingat apa yang berlaku pada hari kedua itu, mungkin kerana aku tidak terlalu minat untuk membeli.

Hari yang dinanti-nanti pun tiba ! Gambang Water Park !

Jujur aku amat suka mengunjungi tempat rekreasi yang membolehkan aku untuk bermain air, dan berenang. Walau aku tidak pandai berenang .

Kami boleh dikatakan mencuba semua permainan yang ada di sana.
Tidak kira tinggi atau rendah, kami redah saja !

Paling mendebarkan sangat bermain permainan 'slide'.
Kami perlu meniarap di atas sebuah karpet span berwarna kuning di atas tempat gelungsur itu, lalu apalagi, terbanglah kami di atas karpet span itu ! Berzikir betul-betul aku pada waktu itu, sungguh takut tersilap langkah ! Alhamdulillah mujur selamat ! Serasa lembik lutut aku setelah mencuba permainan itu.

Aku juga turut belajar berenang di sana !
Sahabat baikku, merangkap kakak angkatku, :'), Atiqa, telah mengajarku asas-asas renang.
Mula-mula memang susah, namun setelah berjaya mencuba, alhamdulillah aku telah berjaya berenang, namun dengan satu gaya sahaja. Sampai sekarang aku masih mempraktikkan apa yang diajarnya.

Tidak puas aku bermain di Gambang Water Park. Namun apakan daya, setiap permulaan pasti ada pengakhiran, Lawatan kami berakhir di situ .

Sewaktu dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di perhentian Genting Sepah.
Aku masih ingat, apa yang berlaku di situ. Setiap kali aku berkunjung ke sana, satu kenangan ini pasti singgah ke dalam ingatanku. Terus aku tersenyum .

Masih aku ingat, aku bersama-sama sahabat baikku, Aisyah melangkah kaki menuju ke McDonalds yang ada di sana. Kami ingin menikmati aiskrim Vanilla yang berharga RM1.00.
Sedang asyik kami berjalan sambil bercerita, tiba-tiba salah seorang sahabat kami berlari melepasi kami dengan sangat laju.

"Anjing !!"

Allahuakbar ! Kami berpaling ke belakang, ternyata seekor anjing sedang berlari ke arah kami.
Sungguh kami panik, entah dari mana datangnya anjing itu tidak sempat pula untuk aku fikir. Kami terus membuka langkah seribu, pecut terus ke dalam McDonalds !
Mujur sempat, alhamdulillah !! Aku melihat Aisyah, Aisyah pula melihat aku.
Tanpa menghiraukan kawasan sekeliling, tawa kami pecah. Tidak habis debar, namun hati dan perut aku sungguh geli .
Itulah kali pertama aku dikejar anjing seumur hidupku jika tidak silap .
Sungguh, pengalaman pahit itu nyata menjadi suatu kenangan yang mampu menyimpul senyum dalam hidupku.

Alhamdulillah untuk segalanya Ya Rabb :)

Sekian, setakat ini sahaja travelog kecilku .
Terima kasih sudi baca !



Comments

Popular posts from this blog

Daylight 2#

"Slut!"

Say Don't Go