BBK3410 14#

mAssalamualaikum

Tahun lepas merupakan tahun aku melawat Masjid Putra.

Atau mungkin tidak . *gelak*
Ah, aku hanya berkunjung ke sana dua kali, setakat ini, alhamdulillah .

Dan pada 31 Disember tahun lalu, iaitu 2016, aku bersama-sama kumpulan daurahku telah bermalam di sana.
Kali ini sedikit lain bagiku, kerana keterujaannya lebih. Aku telah menyertai daurah kali ini bersama-sama sahabat baikku, Faridah.

Aku dan Faridah dikehendaki menunggu di hadapan pintu pagar Kolej Tun Perak. Setelah beberapa minit, sebuah kereta Alza berwarna putih pun tiba.
Setelah menyelesakan diri, kereta itu terus meluncur laju membelah malam yang semakin pekat, menuju Putrajaya.

Tidak kami sangka pada malam itu jalan akan sesak.
Baru aku teringat, ada 'event' yang tidak kurang pentingnya yang turut berlangsung di Putrajaya iaitu Lampu.
Memandangkan esok akan bermulanya tahun baru, masyarakat sekeliling pasti ingin menyambutnya juga di kawasan sekitar Putrajaya itu.

Alhamdulillah, mujur aplikasi Waze membawa kami melalui jalan yang kurang sesak. Walau sedikit jauh namun lebih baik daripada tersekat dalam banjir kenderaan.

Setibanya kami di Masjid Putra, sekali lagi aku berasa kagum dengan pemandangan dan struktur bangunannya. Subhanallah, begitu cantik. Faridah juga kelihatan terpesona dengan apa yang dilihat. Begitu ramai pengunjung Masjid Putra pada malam itu.

Kami terus menuju ke dalam Masjid Putra. Alhamdulillah Ya Rabb, ada disediakan makanan percuma di tepi dewan solat utama. Aku dan Faridah, apa lagi, memandangkan perut sudah lama melagukan lagu rock kapak, kami terus mengambil makanan itu dan duduk bersila bersama-sama akhawat yang lain.
Alhamdulillah, sungguh enak sajian pada malam itu.

Setelah selesai makan dan solat isyak, sesi daurah yang pertama pun bermula.

"Alhamdulillah, pada malam tahun baru ini kita dipilih untuk meluangkan masa di dalam masjid ini,"

Kata-kata itu bagai air dingin menyiram diriku.
Ya, benar.
Kalau aku tidak menyertai daurah itu, entah apalah yang aku akan buat di dalam kamarku.

Kak Ummu, seorang akhawat senior telah mengendalikan sesi daurah pada malam itu.
Kami diberi beberapa mutabaah amal sebagai pengisian pada malam itu.

Setelah bersurai, aku dan Faridah mula bergerak untuk menerokai Masjid Putra.
Terdapat juga ceramah sempena tahun baru (mungkin) yang diadakan di  bahagian hadapan masjid itu.

Sungguh masjid itu kelihatan lebih indah pada waktu malam kerana disinari cahaya lampunya yang menghidupkan suasana.

Ketika aku dan Faridah menapak ke luar, kelihatan ramai pengunjung di bahagian hadapan masjid itu. Ada yang masih dengan kasut rodanya, ada yang bermain skuter berlampu neon, dan macam-macam lagi.

Kami meneruskan perjalanan dan ternampak bangunan Sultan Abdul Samad yang begitu gah di sisi Masjid Putra. Terus berkobar-kobar semangat kami untuk mengangkat lagi kaki meneruskan perjalanan walau malam itu sudah agak lewat.
Sampai sahaja di hadapan pintu pagar utama bangunan itu, terus meletus bunga api, tanda masuknya tahun 2017. Itulah kali pertama aku melihat bunga api bagi pembukaan 2017 (kononnya).

Aku sebenarnya lebih teruja dengan bangunan Sultan Abdul Samad. Sungguh aku sangat ingin masuk ke dalam dan meninjau seluruh kawasan di dalam bangunan itu.
Subhanallah binaannya cantik sungguh!

Setelah puas meneroka kawasan sekitar, aku dan Faridah pun sudah letih dan kembali pulang ke Masjid Putra.

Keesokan pagi, pengisian daurah kami lebih berat. Berat, namun seperti biasa kami hanya santai.

Pengisian tersebut memperkenalkan kami dengan tafsir Fi Zilal tulisan Syed Qutb.
Sungguh panjang untuk aku ceritakan di sini, inshaallah pada entri seterusnya (entah bila) aku akan berkongsi sedikit .

Setakat ini sahaja travelog kecilku.
Terima kasih sudi baca!

Comments

Popular posts from this blog

Daylight 2#

"Slut!"

Say Don't Go